Assalamualaikum WBT, bismillahirrahmanirrahim.
Dalam diam dan tanpa usul selidik yang pasti, keliru dan tertanya tanya dengan diri sendiri. Sepanjang perjalanan hidup sebagai seorang pelajar, sedikit sebanyak membentuk alur dalam diri ini. Bukan upah yang dipinta, bukan jua untuk disanjungi, namun cuba meletakkan cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW pada tahap yang tinggi.
Sering kali diuji dengan pujian dari rakan rakan, sanjungan dan hormat , maaf dan ampun, saya bukan sebaik yang disangka dan tidak layak untuk disanjung. Saya hanya hamba Allah dan kecilnya saya pada pandangan Allah. Bukan redha dan rahmat manusia yang saya pinta, hanya doa dan sokongan ketika saya khilaf.
Dengan berbesar hati, suka saya terangkan, bukan banyaknya pahala, bukan banyaknya hadiah yang kita dapat, bukan besarnya gaji kita, tapi redha Allah yang paling penting, redha Allah yang membawa kita kepada kejayaan mutlak dunia dan akhirat.
Pernah saya terfikir, andai kata syurga dan neraka itu tak wujud. Macam mana dengan pahala dan dosa saya? Bukankah saya mengharapkan pahala saya dibalas dengan syurga? Bukan makud saya untuk menidakkan salah satu dari rukun iman, tapi cuba fikir dari sudut yang positif. Berapa banyak pahala saya yang dapat menjamin saya ke syurga?
Dalam usaha saya menghijrahkan diri mencari redha ilahi, ada satu hadis baginda yang saya jadikan panduan, baginda bersabda ertinya,
"Sesungguhnya berkawan dengan orang-orang yang soleh (orang-orang baik) dibandingkan dengan orang-orang jahat adalah seperti berkawan dengan orang yang menjual minyak wangi berbanding dengan tukang besi. Maka berkawan dengan tukang penjual minyak wangi terkadang dia memakaikan kepadamu atau kamu mengikutnya atau mencium wanginya. Akan tetapi berkawan dengan tukang besi (peniup api) mungkin terbakar pakaianmu atau kau merasakan panasnya." (Hadis Riwayat Muslim).
Terdapat empat tujuan hijrah, yang pertama kerana Allah, kedua kerana Rasulullah, ketiga kerana kehidupan dan keempat kerana wanita. Sentiasa perbaharui niat, kerana siapa kita berubah? Tapi dalam usaha hijrah, peranan sahabat memainkan peranan penting dalam usaha membentuk diri, kuatnya peranan sahabat sehinggakan terdapat hadis yang dapat kita jadikan panduan dalam usaha untuk berhijrah.
Perlunya pemilihan sahabat yang baik kerana sedikit sebanyak perlakuan dan percakapan mereka mempengaruhi saya. Jika bersahabat dengan orang yang baik, lambat laun pasti kita akan terikut dengan perlakuan mereka, jika bersahabat dengan orang kurang baik, begitulah sebaliknya mereka mempengaruhi sedikit sebanyak tingkah laku kita.
Saya bukan seorang yang kuat, kadang terguris dengan dosa sendiri, sering kali menitiskan airmata dek kerana dosa sendiri, rapuhnya hati seorang pendosa, perlukan sokongan dan sahabat baik yang boleh menegur ketika saya salah dan begitulah sebaliknya.
"Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya."
(Hadis riwayat al-Hakim)
#Terima kasih sahabat sahabat yang banyak membantu dikala diri saya goyah tak bertiang, saya sayang antum kerana Allah taala.